Saturday, August 9, 2008

ULANGTAHUN KE-20 KEBANGKITAN RAKYAT BURMA

Hari ini genap 20 tahun kebangkitan rakyat Burma menuntut demokrasi. Sehingga ke hari ini, kesukaran hidup di bawah kerajaan junta masih terasa oleh rakyat Burma.

Pada Mei lalu, keperitan rakyat Burma akibat bencana taufan Nargis telah dikeruhkan lagi dengan kelambatan bantuan barangan dan pasukan penyelamat akibat dasar tertutup kerajaan junta.

Saya merasa hampa sekali apabila kerajaan Barisan Nasional menolak usul tergempar berkenaan bantuan bencana taufan di Burma yang saya bawa dalam Dewan Rakyat. Tindakan sebegini hanya mencerminkan sikap usang negara-negara ASEAN yang kononnya tidak mahu campurtangan dalam urusan negara tetangga, sehingga mengenepikan sifat kemanusiaan.

Malaysia wajar berwajah baru. Semangat hormat-menghormati di kalangan negara tetangga juga bermakna kita wajib sensitif dan segera menggerakkan bantuan kepada rakyat, khususnya di negara yang masih di bawah kuasa autoritarian seperti Burma.

Kerajaan Malaysia juga wajar memainkan peranan yang lebih berkesan untuk membela tokoh demokrasi Burma, Ang Sang Suu Ki. Wajar diingat pembebasan rakyat dan penyuburan demokrasi di Burma khususnya serta negara-negara ASEAN amnya bakal menjadi asas bagi kebangkitan baru Asia secara keseluruhannya.

Peristiwa kebangkitan rakyat Burma 8 Ogos 1988 semakin relevan bagi kita di Malaysia dalam konteks kita berusaha menghidupkan kembali lunas-lunas demokrasi di negara ini ekoran keputusan Pilihanraya 8 Mac lalu. Justeru Pakatan Rakyat bertekad terus memperjuangkan nasib seluruh rakyat Malaysia di bawah kepimpinan yang kompeten, telus dan penuh pertanggungjawaban.


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden Parti Keadilan Rakyat (keADILan)

No comments: